
“Generation of God” ialah satu pertubuhan yang dianggotai oleh mahasiswa-mahasiswi dari institut pengajian tinggi dan juga golongan pekerja. Pelayanan ini bermula di Gereja SIB Bandar WP Labuan pada sekitar tahun 2004 di mana pada tahun tersebut pelayanan ini terdiri daripada pemuda-pemudi yang melayani di Gereja SIB Bandar WP Labuan yang merupakan pelajar-pelajar dan para pekerja yang berada di sekitar Labuan pada waktu itu. Perintis kepada pelayanan ini terdiri daripada tiga orang pemuda iaitu Brother Freddy, Roy Dinsim dan Shayne Vadya Muyou.
Apabila para pelajar ini melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan para pekerja mencari peluang pekerjaan di tempat lain seperti Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia maka pelayanan ini telah ditubuhkan atas dasar kerinduan untuk dapat melayani bersama-sama terutamanya pada waktu cuti. Pertubuhan ini telah berkembang di Sabah, Sarawak dan juga di Semenanjung Malaysia.
Ahli-ahli pelayanan ini kebanyakannya terdiri daripada aliran gereja SIB dan ada juga yang berlatarbelakangkan aliran gereja yang lain seperti Methodist, Anglikan, Basel dan Roman Catholic. Pelayanan ini sudah berjalan selama lebih kurang empat tahun dan pada mulanya nama pelayanan ini belum lagi ditentukan tetapi disebut ”Influence Generation” sahaja. Ketika itu, pelayanan ini masih dikenali sebagai Pelayanan Pemuda-Pemudi Labuan walaupun pada hakikatnya kami tidak melayani di Labuan lagi. Pada waktu yang sama juga pelayanan yang disebut sebagai ”Influence Generation” lebih tertumpu kepada pelayanan di sekitar Labuan, Lawas dan Limbang.
Melalui reunion kecil-kecilan yang bertempat di Kelawat, Tamparuli, Sabah, satu nubuatan dan penglihatan yang pertama telah dinyatakan terhadap pelayanan ini. Pada 17hb Jun 2005 pukul 11.00 pagi, pelayanan ini telah mengadakan persekutuan doa dan puasa di Gunung Doa Kelawat, Tamparuli, Sabah dan pada waktu yang sama, bahan doa utama adalah mengenai misi penubuhan pelayanan ini. Saat Tuhan sedang bekerja, satu nubuatan dan penglihatan dinyatakan kepada seorang pemuda (Paul Lawai Achang) khusus untuk pelayanan ini.

Pada Disember 2005, pelayanan ini telah menganjurkan satu reunion bertempat di Pekan Trusan, Lawas, Sarawak. Melalui reunion ini, satu nubuatan dan penglihatan yang kedua telah dinyatakan sekali lagi untuk pelayanan ini melalui seorang pemudi (Ainisia Sindam) pada pukul 12.07 pagi di mana nama pelayanan "Influence Generation" harus ditukar kepada ”Generation of God” (Generasi Allah) sesuai dengan ayat firman Tuhan yang dinubuatkan pada masa yang sama yang terdapat dalam Yesaya 60:1-3. Menurut nubuatan, nama ”Generation of God” tidak boleh disingkatkan. Sebagai contoh, ”GOG”.
Sejak dari itu, pelayanan ini terus dikenali sebagai ”Generation of God” dan kami terus berkomitmen untuk meneruskan pelayanan ini sehingga ke hari ini.